DUIT -DUIT DAN BARANG LAMA UNTUK DIJUAL SILA KLIK DI BAWAH

[FOR SALE]


Sunday, February 15, 2009

Maria Bertha Hertogh


Maria Bertha Hertogh (Natrah) bersama ibu angkatnya Hajah Aminah(Kalau tak silap saya).
Beliau telah dibawa ke Trengganu ke rumah ibu angkatnya dan berkahwin dengan Mansur Adabi. Keluarga beliau berketurunan Belanda telah memfailkan saman di Singapura. Apabila ibu angkatnya membawa beliau ke Singapura, mahkamah memutuskan penukaran agama dan perkahwinan beliau tidak sah dan diserahkan balik kepada ibu kandungnya. Kisah beliau mendapat liputan meluas Majah Mastika penghujung tahun 1980an.


Maria Hertogh (Natrah) meninggal dunia di Belanda Othman Jailani
Fri | Jul 10, 09 | 3:18:36 am MYT KUALA LUMPUR, 10 Julai (Hrkh) - Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika dahulu, dilaporkan telah meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda Rabu baru-baru ini.

Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, demikian menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama Khamis. Bertha menjadi isu di Singapura pada 1950, akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya Che Aminah dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda. Bertha ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam dan bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi. Namun undang-undang British / Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin. Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandung di Belanda. Keputusan mahkamah itu menimbulkan kamarahan masyarakat Islam di Singapura, sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah. Dilaporkan seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam. Dr Fauziah berkata Natrah akhirnya pulang ke Belanda, namun hati dan perasaannya masih melekat di Malaya, ketika itu. Natrah yang menggunakan nama Bertha pernah kembali ke rantau ini pada 1999 untuk penggambaran filem dokumentari mengenai dirinya oleh sebuah syarikat televisyen Belanda. "Menurut Bertha, beliau hanya merasa bahagia ketika zaman kanak-kanaknya," kata Dr Fauziah melalui emelnya kepada Bernama. Sebuah filem mengenai Bertha arahan Ben Sombogaart dilaporkan akan dikeluarkan tahun depan. _






Natrah ‘hidup’ dalam sejarah Melayu

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@nstp.com.my

NAMA Natrah kedengaran kembali selepas tidak disebut langsung sejak kali terakhir kedatangannya ke Malaysia, 10 tahun lalu. Namun kali ini beritanya diiringi khabar yang menyentuh hati sesiapa saja yang pernah menelusuri kisah suka duka wanita Belanda ini menerusi penulisan Datin Fatini Yaacob, bekas wartawan Dewan Masyarakat pada lewat 1980-an - Natrah sudah meninggal dunia.

Generasi hari ini mungkin tertanya-tanya siapa Natrah? Apa istimewanya wanita ini sehingga berita kematiannya mendapat liputan meluas media tempatan, kelmarin.

“Beliau sememangnya istimewa kerana Natrah akan terus hidup dalam sejarah Melayu dan Islam. Isunya sentiasa relevan dan menjadi penanda aras kepada undang-undang Islam,” kata Fatini ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, baru-baru ini.


Natrah Maarof atau nama asalnya Maria Bertha Hertogh mati akibat leukemia di rumahnya di Huijberhen, selatan Belanda pada usia 72 tahun.

‘Hebatnya’ Natrah kerana kesan kehadirannya yang menjadi pertikaian antara bapanya yang berbangsa Belanda dengan ibu angkatnya dari Malaysia, sehingga mencetuskan rusuhan pada 1950 di Singapura yang menyebabkan 18 maut dan beratus-ratus lagi cedera selepas mahkamah memerintahkan beliau dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya.

Kematiannya membangkitkan kepentingan memperbetulkan laporan mengenai Natrah oleh media Barat yang memutar belitkan fakta.

“Perspektif yang salah mengenai Natrah dan ceritanya perlu diperbetulkan. Laporan media Barat menggambarkan seolah-olah orang Islam begitu agresif dan tidak menghormati keputusan mahkamah mengembalikan Natrah yang beragama Islam ke pangkuan ibu bapanya yang menganut Kristian sehingga tercetusnya rusuhan yang menyebabkan kematian.

“Namun cerita sebenar di sebalik rusuhan itu tidak pernah dilaporkan. Tiada satu laporan menyatakan rusuhan pada 1950 itu akibat kemarahan orang Melayu kerana akhbar Straits Times ketika itu berulang kali menyiarkan gambar Natrah melutut di depan patung Virgin Mary.

“Orang Melayu ketika itu menghormati keputusan mahkamah dan menerima hakikat kehilangan Natrah tetapi kemarahan mereka memuncak dengan penyiaran gambar itu. Ada pihak sengaja berbuat demikian dan media Barat mengambil kesempatan menjadikan laporan rusuhan itu untuk menunjukkan keburukan orang Timur.

“Bagaimana pula penerimaan penganut Kristian jika seorang kanak-kanak Kristian dipakaikan telekung dan dipaksa bersolat? Itulah yang dirasakan umat Islam yang melihat gambar itu,” katanya.

Natrah anak Adeline Hunter dan Adrianus Petrus Hertogh, yang ditawan tentera Jepun pada 1942 di Indonesia.

Oleh kerana semangat anti-Barat begitu kuat di Indonesia, Natrah diserahkan ibunya kepada Che Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia tanpa pengetahuan bapanya. Che Aminah menukar nama Bertha kepada Natrah dan memeliharanya seperti anak sendiri serta diberi didikan Islam.

Selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan dan berusaha mencari Natrah. Selepas ditemui, Che Aminah diperdaya membawa Natrah ke Singapura untuk bertemu bapanya, tanpa menyedari muslihat Hertogh untuk mengambil kembali anaknya itu.

Tindakan Hertogh mendorong Che Aminah memfailkan rayuan di mahkamah dan berjaya mendapat Natrah semula. Beliau kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun.

Bagaimanapun, pada 12 Disember 1950, mahkamah mengarahkan supaya Natrah diserahkan kepada bapanya dan pulang ke Belanda. Keputusan itulah yang menjadi titik tolak kepada penderitaan dan kesengsaraan ditanggung Natrah sehingga mati.

“Natrah menderita kerana beliau tidak belajar memaafkan masa lalu. Terus terang, rasanya saya lebih mengenali Natrah daripada beliau mengenali diri sendiri. Jika boleh, saya ingin membawa Natrah ke dunia lain, keluar daripada ketakutannya dan beri pemahaman kepadanya mengenai takdir.

“Beliau tidak tahu menguruskan penderitaannya. Pegawai British yang bertugas di pusat kebajikan sosial ketika Natrah diletakkan di situ sementara menunggu keputusan mahkamah, pernah menulis dalam bukunya pada 1977 bahawa Natrah akan menderita sepanjang hidup kerana paksaan yang dikenakan ke atasnya.

“Ramalan itu menjadi kenyataan 20 tahun kemudian. Penderitaan dan ketakutan yang selama ini menyelubungi hidupnya dibawa sehingga mati,” kata Fatini.

Sepanjang empat bulan menyelidik kisah berdarah itu, Fatini berkata, antara episod paling menyentuh hatinya ialah kesucian cinta antara Natrah dan suami yang tidak pernah berkesempatan menyentuhnya, Mansur Adabi, biarpun Natrah isterinya yang sah.

“Cinta mereka sejati. Cinta pertama yang dibawa mati. Bayangkan mereka cuma bernikah gantung dan belum lagi melakukan hubungan suami isteri. Biarpun dipisahkan tetapi cinta mereka tidak pernah mati.

“Air mata Natrah bergenang apabila saya menyebut mengenai Mansor ketika pertemuan kami. Cuma cinta mereka mustahil dijelmakan dalam bentuk untuk dapat bersatu semula sebagai suami isteri.

“Apabila televisyen Belanda menyiarkan dokumentari mengenai Mansor yang hidup senang dan bahagia dengan isteri baru, Natrah mengamuk. Beliau begitu tertekan sehingga ke tahap cuba membunuh suaminya,” katanya.

Dihimpit kesengsaraan dipisahkan daripada ibu angkat dan suami dikasihi, Natrah mencari kebahagiaan dengan mengumpul wang. Namun itu juga tidak membahagiakannya.

“Saya berharap generasi muda mengambil iktibar daripada peristiwa itu. Kita perlu faham undang-undang sivil dan syariah dalam hak kekeluargaan kerana ketidakfahaman undang-undang menyebabkan Natrah terlepas daripada tangan orang Islam.

“Golongan muda juga perlu tahu isu itu meletakkan Malaya ketika itu dalam peta dunia, tarikh itu dimuatkan dalam muka depan akhbar seluruh dunia kerana ada pertembungan agama, budaya dan ia diperbesar-besarkan,” katanya.

Natrah tidak sempat dengar lagu ‘ikan di laut asam di darat’


NEW YORK: Natrah teringin mendengar lagu dan memiliki cakera padat yang memuatkan lagu ‘Ikan di laut asam di darat’. Hajat hatinya itu, bagaimanapun tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia akibat leukemia di rumahnya di Huijeberen, selatan Belanda, baru-baru ini.

Natrah menyampaikan hajat untuk mendengar dan memiliki cakera padat lagu itu kepada Hertini Ngah Hashim, 40-an, yang juga anak saudaranya ketika melawat beliau April lalu.

Hertini yang menetap di New York, singgah menziarahi Natrah ketika bercuti ke Eropah.

“Saya memaklumkan hajat Natrah untuk memiliki cakera padat itu kepada kakak yang menetap di Kuala Terengganu dan kami sama-sama berusaha untuk mendapatkan,” kata Hertini yang kini bekerja di pejabat Konsul Jeneral Malaysia di sini, dalam nada kesal.

Natrah atau nama sebenarnya Maria Bertha Hertogh ialah anak Adeline Hunter dan Adrianus Petrus Hertogh yang ditawan tentera Jepun di Indonesia pada 1942.

Menceritakan lawatannya ke Huijeberen, Hertini berkata, beliau dijemput anak Natrah, Carolein di stesen kereta api Bergen Op Zoom dan terus membawanya ke rumah Carolein, di mana Natrah menunggu kedatangannya.

“Ketibaan saya disambut dengan wajah penuh ceria oleh Natrah. Turut bersama ketika itu suami Carolein, dua cucu Natrah dan anak sulungnya, Franc.

“Natrah sangat fasih berbahasa Indonesia dan kami berbual sehingga lewat malam mengenai pelbagai perkara termasuk kehidupan zaman kanak-kanaknya dan pengalamannya dibawa balik ke Belanda,” kata Hertini yang turut membawa keropok ikan kesukaan Natrah dan 12 helai baju batik ‘kaftan’ sebagai buah tangan.

Antara cerita dikongsi bersama Hertini ialah mengenai pengalaman Natrah hampir terkena tembakan ketika berada di atas kapal ketika berlakunya rusuhan Natrah di Singapura untuk ke Indonesia. Dalam rusuhan itu, 18 orang maut dan beratus-ratus lagi cedera.

“Natrah kini tinggal berseorangan di pangsapurinya yang terletak berhampiran rumah Carolein.

“Natrah juga sempat membacakan surah Al-Fatihah dan menyanyi beberapa lagu Melayu Indonesia serta memaklumkan beliau sudah menandatangani surat persetujuan untuk menderma mayatnya selepas beliau meninggal dunia,

“Natrah juga menunjukkan koleksi baju kebaya miliknya dan gambar beliau semasa pulang ke Malaysia kira-kira 10 tahun lalu.

“Beliau juga memaklumkan bapa saya (Allahyarham Ngah Hashim Mohd Dahan) pernah ke Belanda sekitar 1956 untuk menjemputnya balik ke Malaysia tetapi pada masa itu, Natrah sudah berkahwin dan mempunyai anak yang baru berusia setahun,” katanya.

Ketika sarapan keesokan harinya, Natrah turut menceritakan bagaimana beliau dikawal rapi polis Belanda dengan tidak membenarkannya keluar rumah, selepas beliau kembali ke negara itu pada akhir 1950.

“Saya masih lagi terbayang bagaimana wajah Natrah yang berlinang air mata, berdiri di muka pintu rumahnya dalam keadaan cuaca sejuk ketika saya mahu pulang pada hari itu,” kata Hertini dalam keadaan sebak dan tersekat-sekat ketika di temubual baru-baru ini.


No comments:

Post a Comment